Sunday, April 10, 2011

Menyemai sifat Pemaaf dalam diri





Saidatina Aisyah menyatakan: “Rasulullah SAW tidak pernah memukul sesiapapun, baik kepada isteri Baginda mahupun pembantu Baginda, kecuali ketika berperang di jalan Allah. Dan Baginda tidak pernah membalas sedikitpun kepada sesiapa yang menyakiti hatinya, kecuali dalam perkara larangan Allah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)



Rasulullah SAW adalah contoh terbaik kerana sifat mahmudah terserlah pada diri Baginda yang tidak pernah menunjukkan rasa marah hatta jauh sekali menyimpan perasaan dendam dalam hati sekalipun pelbagai cara dilakukan orang kafir dan Yahudi yang mengguris perasaan Baginda.
 
   Antara kisah paling masyhur mengenai sifat mulia Baginda ialah ketika Nabi Muhammad diracun seorang perempuan Yahudi. Walaupun sahabat iaitu Bisyir bin Barra meninggal dunia selepas memakan daging kambing diberikan perempuan itu, namun Rasulullah tetap memaafkan kesalahannya malah berdoa kepada Allah supaya diberi petunjuk dan hidayah hingga akhirnya beliau memeluk agama Islam.

   Walaupun sebagai manusia biasa diakui sukarnya untuk memadamkan rasa marah dan benci dalam hati, namun andai bertekad untuk menjirus api nafsu amarah daripada terus membakar emosi, sifat memaafkan mampu memadamkan bara dinyalakan syaitan yang ingin terus melihat manusia bergaduh sesama sendiri.

   Oleh itu, marilah bersama mentarbiahkan diri dengan menjinakkan lidah untuk mengucap kemaafan sementara tangan menghulurkan salam kemaafan kepada sesiapapun tidak kira sebesar mana kesalahan kerana dalam sifat pemaaf terkandung keberkatan dan kemuliaan yang tinggi.

   Yakinlah, jika kita bersedia memberi kemaafan kepada seseorang nescaya orang juga bersedia memaafkan keterlanjuran kita. Marilah buang segala sifat mazmumah supaya perasaan sakit hati, benci dan marah dapat dijauhi.

Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya.” 
(Hadis riwayat Bukhari).


p/s: 
ayuh..jernihkan hati..murnikan jiwa..
bersamalah kita meraih RedhoNya..

http://hadis.cikedis.com/