Saturday, December 31, 2011

Ketahuilah..duhai Mawar Agama



Bismillahirrahmanirrahim..
Ikhwan & Akhawat fillah..

Sedikit perkongsian, coretan..di petik dari sebuah karya.. seorang mujahidah.. 
untuk kita sama2 muhasabah seketika..

" Ya Allah..bantulah kami untuk tetap layak berada di atas jalanMu. Jangan sekali-kali kau menapis kami dari jalanMu kerana kelalaian kami sendiri untuk mengubat hati dan mengubah sahsiah diri..."

Duhai akhawat fillah..si mawar mujahidah, ketahuilah..
   
  Dalam langkah hidup ini hanya ada dua jalan yang salah satunya perlu ditempuhi. Kita yang memilih jalan kita sendiri. Kalau kita tidak memilih jalan menuju Allah, pasti kita akan melangkah di jalan yang menuju kecelakaan diri sendiri.. itulah jalan syaitan, nafsu, syahwat dan duniawi... 
    
               Jalan keimanan itulah jalan ILAHI..dan jalan kesesatan itulah jalan iblisi..

Orang yang berjalan di atas jalan ILAHI sentiasa berusaha mensucikan jiwa dan hati..sementara orang yang berjalan di jalan iblisi, tiada sensitiviti dalam mengotori dan menodai hati..
    Masing-masing berusaha dan masing-masing bergerak, meniti waktu dan hari, mendekati mati. Akhirnya, masing-masing kerdil menghadap ILAHI. Sudah tentu di sana ada perbezaan antara keduanya di alam abadi.

Tanyalah diri, mahukah kita mencampakkan diri ke lembah kehinaan pada saat bertemu ROBBI..? Atau meletakkan diri ke darjat yang tinggi..? sudah tentu jawapan kita mengimpikan tempat di sisi ILAHI.
   Namun, adakah sama orang yang sekadar berangan-angan tetapi tidak mempunyai persiapan yang serius untuk menghadapNya..? Berapa ramai orang yang sanggup menjual harta dan dirinya demi membeli redha Allah..? Sungguh..manusia lupa saat perjumpaan itu!

   Zaman berganti zaman, Islam asing (gharib) kali kedua, hati-hati yang jernih fikrahnya menjadi ghuroba'. Golongan ini sedikit sekali kerana golongan ini sering mendapat tapisan demi tapisan dari ILAHI sehingga yang tinggal hanyalah orang-orang yang benar-benar ikhlas dengan-Nya..


*Tautan Hati*

Sunday, September 11, 2011

Taubat Yang Syaratnya Gagal Dipenuhi

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Barangsiapa yang beristighfar dengan sebanyak-banyaknya, Allah SWT akan bebaskan mereka daripada sebarang kesusahan, akan mendapat rezeki yang tidak diduga daripada sumber itu serta mendapat jalan penyelesaian daripada sebarang kerunsingan.”

Orang yang tidak ditimpa runsing dalam kehidupannya, adalah merupakan suatu nikmat daripada Allah SWT.

Berapa ramai manusia yang memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi tidak sunyi daripada dilanda runsing. Kekadang kehidupan seseorang sederhana sahaja tetapi mereka aman daripada sebarang kerunsingan jiwa dan fikirannya.

Jika berikhtiar menghilangkan kerunsingan dengan bukan jalan Allah SWT, seperti dengan berhibur yang melampau, maka usaha itu seperti menghilangkan gatal dengan menggaru akan hilang gatal sejenak. Dengan menggaru boleh menyebabkan calar berdarah bertukar jadi kudis.
Apabila kuman yang menyebabkan kegatalan aktif semula, maka gatal akan muncul kembali malah lebih parah lagi dengan munculnya kudis akibat luka digaru.

  Fadilat beristighfar ialah Allah SWT akan memberi jalan penyelesaian daripada sebarang kesempitan, sama ada kesulitan hidup di dunia berbentuk kebendaan atau pemikiran dan perasaan.
Fadilatnya lagi ialah dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak diduga. Lebih istimewa lagi jika rezeki datang mecurah pada saat amat diperlukan.

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya aku seorang Nabi memohon ampun dosa (istighfar) kepada Allah SWT, setiap hari sebanyak 70 kali.”

Meskipun Nabi s.a.w. maksum (dikawal) dosa oleh Allah SWT, namun baginda tetap memohon ampun sebanyak 70 kali saban hari.

Apakah tujuan Nabi s.a.w. mohon ampun kepada Allah SWT dalam keadaan maksum. Tujuannya ialah untuk mentarbiyah umatnya supaya tidak mengabaikan istighfar mohon supaya Tuhan ampuni dosanya.
Jika Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar 70 kali, umatnya sebagai insan biasa yang bergelumang dosa, secara logiknya mestilah mohon ampun kepada Allah SWT setiap hari lebih daripada yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. itu.

Bagi Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar itu bukanlah untuk mohon ampun dosa, tetapi istighfar Nabi s.a.w. ialah mohon ampun daripada perkara yang dikira silap.
Ini kerana amalan baik bagi orang yang jujur (abrar) itu, masih dikira sesuatu yang buruk bagi golongan ‘muqorrobin’ seperti golongan para nabi itu.

Contohnya, jika melakukan solat fardu didahului dan diiringi dengan solat rawatib, juga mendirikan solat malam tahjud empat rakaat dan tiga rakaat witir, jika boleh kekalkan sudah dikira termasuk golongan ‘abrar’.
Tetapi sekadar itu tidak layak bagi golongan para anbiya, ia dikira berdosa bagi golongn muqarrabin jika ibadatnya sekadar itu.

Adapun istighfar yang sering diucapkan oleh Nabi s.a.w. seperti berikut: “Allahummaghfirli ma qaddamtu wama akhkhartu wama asrartu wama a’alantu wama Anta a’alamu bihi minni wa Antal muqaddimu wa Antal muakhkhir wa Anta ‘ala kulli syai-in qadir.”

Ia bermaksud: “Wahai Tuhan, ampunilah dosaku yang terdahulu dan dosa kemudian yang belum dilakukan, dosa yang kulakukan secara sulit tersembunyi dan dosa yang kulakukan secara terbuka, sebanyak mana yang Engkau ketahui. Sesungguhnya atas Engkau Yang Berkuasa penuh atas segala sesuatu.”

Seorang ulama bernama Fudhul bin Akhyar berkata mengenai istighfar katanya: “Bahawa minta ampun dalam keadaan tidak menghentikan daripada berbuat dosa itu adalah taubat seorang pendusta.”
Apabila seseorang beristighfar bererti dia mohon ampun kepada Allah SWT, apa ertinya dia mohon ampun kalau terus melakukan dosa maksiat.

Sedangkan syarat taubat ialah insaf dan menyesal, bertekad untuk tidak melakukannya lagi. Sangat pembohong bagi seorang yang mohon ampun kepada Tuhan, tetapi tidak berhasrat uantuk meninggalkan dosa dan menyesalinya.

Perbuatan itu umpama orang solat dengan memakai kain yang tercemar dengan najis, setelah dia sedar lalu digantinya dengan kain baru, sayangnya kain baru itu adalah kain curi.

Dia tinggalkan dosa diganti dengan dosa yang lain pula. Apakah ertinya itu jika dia tidak sedar sedang menipu diri sendiri?

Seorang wali besar yang masyhur dalam sejarah Islam, seorang wanita bernama Rabi’ah Al-’Adawiyyah berkata: “Sesungguhnya minta ampun bukan sekadar kerana berdosa, tetapi istighfar kerana kesalahan minta ampun daripada taubat yang tidak memenuhi syarat taubat itu.”

Ertinya adalah dianggap satu dosa bagi orang minta ampun (istighfar) dalam keadaan dia tetap melakukan dosa, kerana sepatutnya dia menyesal serta berazam untuk tidak lakukannya lagi.


Beristighfar dalam keadaan demikian bererti dia sedang berdusta, seolah-olah mempermain-main dengan Allah SWT dengan istilah taubat.

Bertaubat dalam suasana demikian lebih buruk daripada melakukan dosa yang sebenar, kerana taubat seperti itu merupakan suatu dosa yang perlu bertaubat semula kerana bertaubat yang menyalahi syarat taubat. Inilah taubat manusia pendusta terhadap Tuhan.






Friday, August 19, 2011

Meninggalkan Dosa adalah Kehidupan Hati


 Sabar dan Solat
Dan Mintalah Pertolongan dengan Sabar dan Solat..”

Oleh:  Dr. Khalid bin Abdul Aziz Al-Jubair
(Petikan buku ‘Kesaksian Seorang Doktor: Mensucikan Hati Melalui Kisah Nyata’)

Sungguh aneh orang-orang yang menangisi jasad yang telah mati akan tetapi mereka tidak menangisi hati yang mati, padahal matinya hati lebih menyedihkan daripada matinya jasad.

Mereka mencari ubat paling mujarab ke manapun dan bilapun untuk penyakit jasad, akan tetapi tidak peduli sama sekali terhadap hati yang sakit, padahal penyakit hati lebih menakutkan. Dengan meninggalkan amar ma’ruf nahi mungkar sebenarnya mereka telah mengabaikan ubat penyakit hati.

Mereka sangat khuatir akan tersebarnya penyakit jasad, melakukan segala usaha pencegahan, sangat berhati-hati menghadapinya, mengeluarkan segala daya upaya dan harta untuk mencegahnya, akan tetapi mereka melalaikan kesiapsiagaan untuk menghadapi penyakit hati kecuali orang-orang yang mendapatkan hidayah dari Allah Ta’ala.

Bahkan mereka mengejek orang-orang yang berusaha mencegah menyebarnya penyakit hati, mereka berusaha untuk merosak semua sarana dan upayanya, mereka menganggap orang-orang ini sebagai kelompok terkebelakang, primitif, dan tidak mengikuti trend.



Sesungguhnya penyakit fizikal hanya memberikan kesan kepada orang itu sahaja, atau jika menular ia tidak akan menular kecuali kepada segelintir orang sahaja. Akan tetapi penyakit hati akan menyebar kepada seluruh umat, menyebabkan akibat yang penghujungnya sangat buruk.

Saudara-saudaraku… Ketaatan kepada Allah Ta’ala merupakan satu kesembuhan untuk menjaga kelangsungan hidupnya hati seorang hamba. Ia samalah seperti keharusan tersedianya makanan dan minuman untuk menjaga kelangsungan hidup tubuh seseorang. 

Kemaksiatan adalah makanan beracun yang dapat merosak hati. Ia bagaikan makanan busuk yang merosak tubuh bahkan bisa membunuhnya! 



Motivasi Terunggul Seorang Manusia ialah Dengan Mentaati Tuhannya” 

Seseorang yang selalu berusaha menjaga kehidupannya dengan memenuhi keperluan badan fizikalnya dengan makan secara teratur, maka jika suatu saat ia memasukkan makanan yang mengandungi racun atau makanan basi ke dalam tubuhnya maka hal itu dapat memberinya sakit bahkan membunuhnya.

Sesungguhnya kehidupan hati harus mendapatkan perhatian lebih dari hal di atas. Maka jika kita melakukan satu dosa selayaknya kita segera mensterilkan hati kita dari dosa ini dengan  bertaubat dan menyesal.

Hal ini jangan disalahertikan bahawa kita tidak perlu memperhatikan kesihatan fizikal, sehingga ketika fizikal sakit tidak perlu berubat. Sekali lagi tidak. Pesan yang ingin saya sampaikan ialah bahawa sebagaimana kita memberi perhatian terhadap penyembuhan dan pengubatan penyakit fizikal, hendaklah kita turut memperhatikan hati dalam kadar yang sama.

Ini kerana sesungguhnya jika seseorang meninggal dunia kerana penyakit fizikal yang ia hadapi dengan sabar dan selalu berharap kepada Allah Ta’ala, insya Allah balasannya adalah Syurga.

Akan tetapi orang yang meninggal dalam keadaan hatinya sakit yang belum pernah ia ubati dengan taubat, penyesalan dan kemahuan kuat untuk meninggalkan kemaksiatan tersebut, mereka itu ialah orang-orang yang hatinya mati sebelum fizikalnya mati. Sesungguhnya nasib merekalah yang harus kita khuatirkan. 


Terkujur jasad seorang hamba.. Mengharap secebis rahmat dari Tuhannya.. Bersediakah kita? Justeru itu, taubat nasuhalah!” 

Saya merasa sangat hairan kepada orang-orang yang apabila ia merasakan sedikit rasa sesak di dadanya atau sedikit sakit di jantungnya, ia akan segera merasa kebingungan dan segera mencari ubatnya. Bahkan ia akan terburu-buru mencari doktor paling bagus, bertanya ke sana dan ke mari untuk mencari doktor tersebut. Hal ini memang logik dan boleh diterima akal, hanya saja sikap mereka tidak adil. Jika hati salah seorang dari mereka yang ketakutan dari penyakit fizikal tersebut terluka oleh satu perbuatan maksiat, ternyata sangat sedikit yang segera berubat dengan taubat dan penyesalan.

Apakah mereka tidak ingin menghadap Tuhannya dengan hati yang sihat (bersih) sehingga mereka bisa meraih Syurga? Allah Ta’ala berfirman di dalam Al-Qur’an Al-Karim, Surah As-Syu’ara, ayat 88-89:

“(iaitu) di hari harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.”
Sungguh tidak ada yang selamat pada Hari Kiamat kecuali mereka yang menghadap Tuhannya dengan hati yang bersih.

Jika kehidupan seseorang yang terbebas dari segala penyakit fizikal menghantarkannya untuk menikmati hidup yang aman dari segala penyakit, maka sesungguhnya kesihatan hati akan menghantarkan seseorang menuju kehidupan yang bahagia di dunia dan kebahagiaan tak terbatas di Akhirat.
If I were to Pass Away.. Bersediakah kita untuk mati??”

Ibnu al-Mubarak Rahimahullah berkata;

Aku melihat dosa-dosa mematikan hati
Kadang kebiasaan melakukan dosa mengakibatkan kehinaan
Meninggalkan dosa adalah kehidupan hati
Itu lebih baik untuk dirimu dengan meninggalkannya.

Rasulullah SAW bersabda;

“Bukankah di dalam hati ada segumpal daging. Jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh tersebut. Akan tetapi jika ia rosak maka rosaklah seluruh tubuh tersebut. Ketahuilah ia adalah qalbu (hati).” [Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]

Saudaraku… Hendaklah engkau selalu merawat hatimu agar selalu sihat terhindar dari segala dosa, selalu mencintai makanan-makanan bergizi berupa ketaatan, selalu membenci segala macam makanan yang terkontaminasi oleh kemaksiatan. Seandainya hatimu terkena imbas dari penyakit ini maka bersegeralah untuk mengubatinya dengan taubat dan penyesalan.

Allah Ta’ala berada di sebalik setiap kehendak, dan semoga Allah Ta’ala melimpahkan selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW beserta keluarga dan para sahabatnya. Amiin.

Saturday, June 18, 2011

Pagi itu....

Ku amati alam..
di tengah lautan..
Sungguh..
ada angin damai
singgah menyapa rasa..



Qalbu terusik..
melihat keindahan..
Ku pejamkan mata..
bicara pada alam bermula..
walau tanpa suara..
walau hanya hati yang bicara..
ku mengerti tazkirah yang ENGKAU beri...


Pada langit
ku kongsikan cerita impian..
mampukah ku gapai impian
yang menjulang setinggi langit??

Pada lautan
ku kongsikan kisah perjalanan..
ya..hidup ini
ibarat meredah lautan ..
deru ombak badai
adakalanya menghentam..
namun..
ia juga yang mengajarku
erti ketabahan..

Merenung dataran..
ku selami liku-liku kehidupan..
debu..onak dan duri
ada saja yang memaluti..
seakan sudah sebati di nubari..

Perjalanan yang panjang ini
benar2 meletihkan..
langkah longlai tanpa kekuatan..
jiwa lelah tanpa keteguhan..
ku ubati dengan penawar agungMU..

KalamMU yang telah memujukku..
resepi alam..
acuan kehidupan..
mewujudkan rencah rasa yang amat indah...


 

Ku amati dengan hati..
Segala karuniaMU..
Sungguh...tak terucap syukurku..


Ya Robb....
Lindungilah aku..
dari kelelahan..
dan putus asa yang berpanjangan...

Sunday, April 10, 2011

Menyemai sifat Pemaaf dalam diri





Saidatina Aisyah menyatakan: “Rasulullah SAW tidak pernah memukul sesiapapun, baik kepada isteri Baginda mahupun pembantu Baginda, kecuali ketika berperang di jalan Allah. Dan Baginda tidak pernah membalas sedikitpun kepada sesiapa yang menyakiti hatinya, kecuali dalam perkara larangan Allah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)



Rasulullah SAW adalah contoh terbaik kerana sifat mahmudah terserlah pada diri Baginda yang tidak pernah menunjukkan rasa marah hatta jauh sekali menyimpan perasaan dendam dalam hati sekalipun pelbagai cara dilakukan orang kafir dan Yahudi yang mengguris perasaan Baginda.
 
   Antara kisah paling masyhur mengenai sifat mulia Baginda ialah ketika Nabi Muhammad diracun seorang perempuan Yahudi. Walaupun sahabat iaitu Bisyir bin Barra meninggal dunia selepas memakan daging kambing diberikan perempuan itu, namun Rasulullah tetap memaafkan kesalahannya malah berdoa kepada Allah supaya diberi petunjuk dan hidayah hingga akhirnya beliau memeluk agama Islam.

   Walaupun sebagai manusia biasa diakui sukarnya untuk memadamkan rasa marah dan benci dalam hati, namun andai bertekad untuk menjirus api nafsu amarah daripada terus membakar emosi, sifat memaafkan mampu memadamkan bara dinyalakan syaitan yang ingin terus melihat manusia bergaduh sesama sendiri.

   Oleh itu, marilah bersama mentarbiahkan diri dengan menjinakkan lidah untuk mengucap kemaafan sementara tangan menghulurkan salam kemaafan kepada sesiapapun tidak kira sebesar mana kesalahan kerana dalam sifat pemaaf terkandung keberkatan dan kemuliaan yang tinggi.

   Yakinlah, jika kita bersedia memberi kemaafan kepada seseorang nescaya orang juga bersedia memaafkan keterlanjuran kita. Marilah buang segala sifat mazmumah supaya perasaan sakit hati, benci dan marah dapat dijauhi.

Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya.” 
(Hadis riwayat Bukhari).


p/s: 
ayuh..jernihkan hati..murnikan jiwa..
bersamalah kita meraih RedhoNya..

http://hadis.cikedis.com/


Sunday, March 27, 2011

Ibu Teladan, Asma' Binti Abu Bakar As Siddiq; Dzatun Nithaqain



Ya Allah! Kasihanilah dia kerana solat yang panjang diselangi tangisan di tengah kedinginan malam yang sepi, ketika orang-orang lain sedang nyenyak dibuai mimpi. Ya Allah! Kasihanilah dia yang sering menahan lapar dan dahaga ketika bertugas jauh dari Madinah atau Mekah dalam menunaikan ibadah puasa kepadaMu. Ya Allah! Aku menyerahkannya di bawah pemeliharaanMu, aku redha dengan apa yang telah Engkau tetapkan bagiku dan baginya, dan berilah kami pahala orang-orang yang sabar...!"
 [ Doa Asma' radhiallahu anha buat puteranya, Abdullah bin Zubair]



Asma' binti Abu Bakar As-siddiq; saudara kepada Aisyah Ummul Mukminin (isteri Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam); puteri kepada sahabat Rasulullah yang mulia, Saidina Abu Bakar As-siddiq; isteri Zubair bin Awwam, pejuang dan tokoh Islam yang mengutamakan redha Allah di dalam perjuangannya; Merupakan seorang wanita muhajir yang mulia dan bonda kepada Abdullah bin Zubair, salah seorang pejuang yang gugur mempertahankan agamanya; dan sesungguhnya kedudukannya ini cukup untuk mengangkat darjat beliau ke tempat yang tinggi, mulia dan terpuji. Peribadinya dirahmati Allah dengan keistimewaan yang sangat menonjol, setanding dengan para Muslimin di ketika itu; cerdas, cerdik, lincah, pemurah dan berani.

Kedermawanan beliau dapat dilihat jelas melalui ucapan anaknya," Aku belum pernah melihat wanita yang sangat pemurah melebihi ibuku termasuk Aisyah Radhiallahu anha. Beliau (Aisyah) mengumpulkan apa yang diperolehinya sedikit demi sedikit, lantas setelah itu barulah dinafkahkannya kepada mereka yang memerlukannya. Sedangkan ibuku, dia tidak pernah menyimpan sedikit pun sehingga hari esok"


Kebijaksanaan Dzatun Nithaqain
Kecemerlangan berfikir Asma Radhiallahu anha terpancar dari sikapnya yang penuh prihatin dan perhitungan yang bijaksana. Peristiwa Hijrah Abu Bakar menyaksikan pengorbanan seorang sahabat demi Islam, tidak meninggalkan sesen pun harta untuk keluarganya melainkan dibelanjakan keseluruhannya untuk Allah dan rasulNya.  Ketika Abu Quhafah (ayah kepada Abu Bakar radhiallahu anhu) yang masih musyrik menemui keluarganya, beliau berkata kepada Asma',
"Demi Allah! Tentu ayahmu telah mengecewakanmu dengan hartanya, di samping akan menyusahkanmu dengan pemergiannya!".  Jawab wanita yang mulia ini, "Tidak wahai datuk! sekali-kali tidak! Beliau banyak meninggalkan wang buat kami" ujarnya sambil menghibur dan menenangkan datuknya. Dikumpulkannya batu-batu kerikil yang kemudiannya dimasukkan ke dalam lubang tempat kebiasaannya menyimpan wang. Kemudian dibawakan datuknya yang buta itu ke tempat simpanan tersebut, lantas berkata, "Lihatlah datukku! Beliau banyak meninggalkan wang buat kami!". Perkataan tersebut ternyata berjaya meyakinkan Abu Quhafah. Maksud perbuatan tersebut adalah untuk menyenangkan hati datuknya, agar tidak bersusah hati memikirkan hal tersebut. Malah, Asma'  juga tidak menginginkan bantuan dari orang musyrik meskipun datuknya sendiri. Inilah bukti yang menunjukkan besarnya perhatian beliau terhadap dakwah dan kepentingan kaum Muslimin.

Diberi julukan sebagai 'dzatun nithaqain' oleh Rasulullah yang membawa erti "wanita yang mempunyai dua tali pinggang", sebagai peringatan terhadap peristiwa Hijrah yang menyaksikan pengorbanan dan keberanian Asma' yang tiada tolok bandingannya. Beliau bersusah payah menyediakan bekalan makanan dan minuman buat Rasulullah dan Abu Bakar Radhiallahu anhu di saat genting seperti itu. Beliau mengoyakkan ikat pinggangnya kepada dua untuk dijadikan tali pengikat untuk mengikat bekalan makanan dan minuman tersebut, sehingga kerana peristiwa itu Rasulullah mendoakan beliau agar digantikan tali pinggang tersebut dengan yang lebih baik dan lebih indah di syurga kelak.

Tidak hanya itu pengorbanan Asma Radhiallahu anha. Peristiwa hijrah ini turut menyaksikan kekuatan berfikir dan perancangan strategi yang dimiliki oleh seorang Muslimah hasil dari aktiviti politik dan kecemerlangan berfikir yang diadun dengan ketaqwaan dan keimanan yang teguh. Asma' Radhiallahu anha bukan sekadar menjadi penghantar makanan kepada dua orang sahabat yang berperanan penting bagi umat Islam, malah beliau juga menyampaikan berita-berita penting tentang rencana-rencana pihak musuh terhadap kaum Muslimin. Dengan kehamilannya ketika itu, Asma' mengambil  peranan yang menjanjikan risiko tinggi, di mana bukan saja nyawanya menjadi taruhan, malah lebih dari itu, nyawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan ayahnya turut sama terancam. Memikirkan kemarahan musuh Islam lantaran lolosnya Rasulullah dari kepungan, kafir Quraisy pastinya akan berusaha bersungguh-sungguh mencari-cari Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam untuk dibunuh kerana bencinya mereka terhadap dakwah Islam dan pejuang-pejuangnya. 

Di saat-saat genting seperti itu, Asma' mampu meramal segala kemungkinan yang bakal berlaku, dan dengan kecerdikan dan penuh perhitungan, beliau berjalan menuju Gua Tsur sambil menggembala kambing-kambingnya berjalan di belakangnya. Taktik ini dilakukan untuk mengaburi mata pihak musuh kerana jejaknya terhapus oleh jejak-jejak kambing gembalaannya itu. Tindakan ini belum tentu mampu dilakukan oleh seorang lelaki yang berani sekalipun, lantaran hal tersebut bakal mengundang bahaya, kezaliman, dan kekejaman orang-orang kafir Quraisy.

Permasalahan ini tidak cukup sampai di situ. Setelah kejayaan Rasulullah dan Abu Bakar keluar dari tempat persembunyian dan berhasil berhijrah ke Madinah, Asma' Radhiallahu anha dan keluarganya didatangi beberapa orang Quraisy, di antaranya Abu Jahal yang telah bertindak kasar menampar pipi Asma’ Radhiallahu anha dengan sekali tamparan yang mengakibatkan subangnya terlepas!. Asma' menjawab dengan penuh diplomasi saat beliau ditanya tempat persembunyian Rasulullah dan ayahnya dengan berkata," Demi Allah, aku tidak tahu di mana ayahku berada sekarang!"

Hijrah Asma' Radhiallahu anha dan suaminya ke Madinah berlaku selang beberapa lama dari hijrah sebelumnya, di mana pada ketika itu Asma' sedang sarat mengandungkan Abdullah bin Zubair dan hanya menanti detik-detik kelahirannya. Perjalanan yang jauh dan berbahaya ditempuhi jua sehinggalah angkatan para sahabat tiba di Quba'. Kelahiran anak pasangan sahabat ini disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Dialah bayi pertama yang dilahirkan di Madinah.


Sebaik-baik Ummu wa Rabbatul Bait
Seorang muhajirah yang agung, antara wanita yang awal memeluk Islam, sangat memuliakan suaminya meskipun Zubair hanya seorang pemuda miskin yang tidak mampu menyediakan pembantu buatnya. Hatta tidak mempunyai harta yang dapat melapangkan kehidupan keluarganya, melainkan hanya seekor kuda yang dijaganya dengan baik. Beliaulah isteri yang sentiasa sabar dan setia berkhidmat untuk suaminya, sanggup bekerja keras merawat dan menumbuk sendiri biji kurma untuk makanan kuda suaminya di saat Zubair sibuk menjalankan tugas-tugas yang diperintah Rasulullah kepadanya.

Di dalam didikannya, keperibadian Abdullah bin Zubair dibentuk. Beliau adalah susuk seorang ibu yang sangat memahami peranannya dalam melahirkan generasi utama yang berkualiti, generasi yang menjadikan kecintaan kepada Allah dan RasulNya di atas segala-galanya, sama ada harta, isteri, keluarga mahupun segala jenis perbendaharaan dunia. Beliau mencetak keperibadian generasi yang siap berjuang membela bendera Islam dan kalimah La ilaha illallah Muhammad Rasulullah. Keperibadian seperti ini terpancar jelas di dalam diri puteranya, Abdullah bin Zubair. Hal ini dapat kita teladani melalui kisah pertemuan terakhir di antara seorang ibu dan anak yang saling menyayangi dan mencintai satu sama lain, semata-mata kerana kecintaan keduanya kepada Allah Subhanahu wa Taala dan RasulNya.

Abdullah: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, wahai ibunda!

Asma': Wa'alaikum salam warahmatullahi wabarakatuh, ya Abdullah! Mengapa engkau datang ke sini di saat-saat seperti ini? Padahal batu-batu besar yang dilontarkan Hajjaj kepada tenteramu menggetarkan seluruh Kota Mekah?

Abdullah: Aku hendak bermusyawarah dengan ibu.
Asma': Tentang masalah apa?

Abdullah: Tenteraku banyak meninggalkanku. Mereka membelot dariku ke pihak musuh. Mungkin kerana mereka takut terhadap Hajjaj atau mungkin juga kerana mereka menginginkan sesuatu yang dijanjikannya sehingga anak-anak dan isteriku sendiri berpaling daripadaku. Sedikit sekali jumlah tentera yang tinggal bersamaku. Sementara utusan Bani Umayyah menawarkan kepadaku apa saja yang ku minta berupa kemewahan dunia asal saja aku bersedia meletakkan senjata dan bersumpah setia mengangkat Abdul Malik bin Marwan sebagai khalifah. Bagaimana pendapatmu wahai ibu?

Asma': Terserah kepadamu Abdullah! Bukankah engkau sendiri yang mengetahui tentang dirimu? Jika engkau yakin bahawa engkau mempertahankan yang haq dan mengajak kepada kebenaran, maka teguhkanlah pendirianmu sepertimana para perajuritmu yang telah gugur dalam mengibarkan bendera agama ini! Akan tetapi, jika engkau menginginkan kemewahan dunia, sudah tentu engkau adalah seorang anak lelakiku yang pengecut! dan bererti engkau sedang mencelakakan dirimu sendiri dan menjual murah harga kepahlawananmu selama ini, anakku!

Abdullah: Akan tetapi, aku akan terbunuh hari ini ibu.
Asma' : Itu lebih baik bagimu daripada kepalamu akan dipijak-pijak juga oleh budak-budak Bani Umayyah  dengan mempermainkan janji-janji mereka yang sangat sukar untuk dipercayai!

Abdullah: Aku tidak takut mati, Ibu. Tetapi aku khuatir mereka akan mencincang dan merobek-robek jenazahku dengan kejam!

Asma': Tidak ada yang perlu ditakuti perbuatan orang hidup terhadap kita sesudah kita mati. Kambing yang sudah disembelih tidak akan merasa sakit lagi ketika kulitnya dikupas orang!

Abdullah: Semoga Ibu diberkati Allah. Maksud kedatanganku hanya untuk mendengar apa yang telah ku dengar dari ibu sebentar tadi. Allah Maha Mengetahui, aku bukanlah orang yang lemah dan terlalu hina. Dia Maha Mengetahui bahawa aku tidak akan terpengaruh oleh dunia dan segala kemewahannya. Murka Allah bagi sesiapa yang meremehkan segala yang diharamkanNya. Inilah aku, anak Ibu! Aku selalu patuh menjalani segala nasihat Ibu. Apabila tewas, janganlah ibu menangisiku. Segala urusan dari kehidupan Ibu, serahkanlah kepada Allah!

Asma': Yang ibu khuatirkan andainya engkau tewas di jalan yang sesat.

Abdullah: Percayalah Ibu! Anakmu ini tidak pernah memiliki fikiran sesat untuk berbuat keji. Anakmu ini tidak akan menyelamatkan dirinya sendiri dan tidak memperdulikan orang-orang Muslim yang berbuat kebaikan. Anakmu ini mengutamakan keredhaan ibunya. Aku mengatakan semua ini di hadapan ibu dari hatiku yang putih bersih. Semoga Allah menanamkan kesabaran di dalam sanubari Ibu.

Asma': Alhamdulillah! segala puji bagi Allah yang telah meneguhkan hatimu dengan apa yang disukaiNya dan yang Ibu sukai pula. Rapatlah kepada Ibu wahai anakku, Ibu ingin mencium baumu dan menyentuhmu. Agaknya inilah saat terakhir untuk ibu memelukmu..."
Abdullah:Jangan bosan mendoakan aku Ibu!

Sebelum matahari terbenam di petang itu, Abdullah bin Zubair syahid menemui Rabbnya. Dia kembali kerana mengutamakan redha Allah dan redha ibunya yang beriman. Diriwayatkan, bahawa Al-Hajjaj berkata kepada Asma' setelah Abdullah terbunuh :"Bagaimanakah engkau lihat perbuatanku terhadap puteramu ?" Asma' menjawab :"Engkau telah merosak dunianya, namun dia telah merosak akhiratmu." Asma' wafat di Mekkah dalam usia 100 tahun, sedang giginya tetap utuh, tidak ada yang tanggal dan akalnya masih sempurna. [Mashaadirut Tarjamah : Thabaqaat Ibnu Saad, Taarikh Thabari, Al-Ishaabah dan Siirah Ibnu Hisyam].  Semoga Allah meredhai kedua hambaNya, Asma' dan puteranya.

Khatimah
Inilah sebuah teladan yang sangat berharga buat kita semua. Asma' Radiallahu anha bukan sahaja menunjukkan keberaniannya, kepatuhannya kepada Allah, suami dan ayahnya; juga pengorbanannya yang besar, sikap dermawannya dan kecemerlangan berfikir yang menjadi cermin keperibadiannya. Bersama suaminya, Zubair bin Awwam, terbentuklah keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah; bukan kerana harta yang melimpah ruah, tetapi  limpahan barakah dan rahmat dari Allah Subhanahu wa Taala kerana ahli keluarganya yang menjadikan kecintaan mereka hanya kepada Allah dan Rasul di atas kecintaan-kecintaan lainnya. Dari keluarga ini, lahirlah seorang syuhada yang gagah berani, tidak takut terhadap apapun kecuali Allah Subhanahu wa Taala  Semoga kisah Asma’ Abu Bakar ini akan sentiasa mekar di jiwa kita sebagai motivasi diri dalam menyemai kecintaan serta menjalankan kewajipan terhadap Rabbul Izzati.


http://www.mykhilafah.com

Saturday, March 19, 2011

Titipan Buat Calon Zaujahku..(dari Adam buat Hawa)

بسم الله الرحمن الرحيم
Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W...

Salam sejahtera buat calon zaujahku yang dihijab pertemuan oleh-Nya sehingga detik kita disatukan dengan lafaz ijab bersaksi, qabul berwali. Semoga langkahmu tangkas dengan semangat juang islam. Walau apapun yang kita lakukan, dasarilah ia dengan memohon keredhaan-Nya supaya setiap langkah itu beroleh keberkatan.

"Ya Allah, gembirakanlah aku dengan redha-MU"..

Ku kira untaian doa srikandi iman, Sayyidah Nafisah Binti Hasan bin Zaid bin Hasan Bin Ali bin Abu Thalib ini mampu menyuburkan hatimu dengan Nur KasihNya.

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang". (Ar-Rum:21)

Telah dikhabarkan bahawa engkau adalah calon yang sekufu untukku,
bakal menjadi peneman solehah bersamaku merentas becaknya denai-denai perjuangan Islam ini. InsyaAllah. Kesesuaian ini telah ku pohon dalam setiap ibadah hajat dan istikharahku selama ini. Tanpa jemu walaupun pertemuan itu masih dirahsiakan. Besar kurniaanNya kepada kita.
Hijab itu membolehkan aku & kamu melengkapkan diri masing-masing dengan bekalan agama agar baitul muslim kita nanti tidak suram dengan NUR keimanan yang malap.




Calon Zaujahku yang dirahmati..
"Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara; hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu".


Bukan harta yang ku perlukan, bukan keturunan yang menjadi keutamaan, bukan kecantikan yang ku idamkan, tetapi kefasihan agamamu itu yang aku dambakan. Itulah hikmah sekufu yang menjadi asas USRAH MUSLIM antara aku, kau dan anak-anak pewaris ketauhidan Islam dalam mengESAkan Allah yang Satu.


"Hai Manusia, sesungguhnya kami ciptakan kamu lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Mengenal". (Al-Hujurat:13)


Sirah telah membuktikan bahawa seorang khalifah mulia menjodohkan puteranya dengan seorang gadis penjual susu, lantaran iman yang kuat menjadi benteng gadis itu daripada menderhakai Allah.
Akhlak indah yang menjadi pakaian gadis suci itu membuatkan hati khalifah terpaut. Inilah kisah yang ingin aku kongsikan denganmu..wahai calon zaujahku.


Pada suatu malam, Khalifah Umar Ibnu Khattab sedang membuat tinjauan terhadap rakyat-rakyatnya. Sampailah Umar r.a di sebuah rumah penduduk, ketika itu mereka sedang berbincang tentang sesuatu. Umar mendengar semua perbincangan mereka.


Seorang ibu berkata kepada anak perempuannya: "Anakku bangunlah, serta campurkanlah susu itu dengan air. Puterinya menjawab: "Apakah ibu belum mendengar larangan  daripada Amirul Mukminin itu?" Ibu itu bertanya lagi: "Apakah larangan Amirul Mukminin itu?" Puterinya menjelaskan: "Wahai ibu, sesungguhnya Amirul Mukminin melarang umat Islam menjual susu yang dicampurkan dengan air". Ibu itu berkata lagi: "Cepatlah engkau campurkan susu itu dengan air, tak usahlah kamu takut dengan Saidina Umar, kerana ia tidak melihatnya". Puterinya menjawab: "Wahai ibuku, memang Umar r.a tidak melihat kita, tetapi Tuhan yang disembah Umar melihat kita. Maafkan saya wahai ibuku, kerana tidak dapat mematuhi permintaanmu. Saya tidak mahu menjadi orang yang munafiq mematuhi perintah di hadapan orang ramai, tetapi melanggarnya apabila di belakang mereka".


Khalifah Umar yang terkenal tegas itu menjadi terharu hatinya. Umar r.a merasa bangga dengan ketaqwaan gadis miskin penjual susu tersebut. Setelah pagi, Saidina Umar memerintahkan puteranya Ashim supaya pergi ke rumah gadis tersebut.


"Wahai anakku, pergilah engkau ke sebuah rumah penduduk, di dalamnya ada gadis penjual susu. Jika ia masih sendiri, pinanglah ia. Mudah-mudahan Allah akan memberikan kurnia kepadamu anak yang soleh". Ternyata dugaan Saidina Umar r.a itu benar sekali. Ashim menikah dengan wanita yang mulia tersebut dan mendapat seorang anak perempuan yang bernama Ummu Ashim. Kemudian Ummu Ashim berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan, dan mereka mendapat seorang anak lelaki yang bernama Umar bin Abdul Aziz, yang kemudian menjadi seorang khalifah yang terkenal dan bijaksana.


Calon zaujahku yang telah dijanjikanNya..
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka". (An-Nisa':34)


Surah yang diberikan kemuliaan buatmu dan insan yang bergelar wanita. Istimewanya dirimu sehinggakan Allah menukilkan pesananNya dalam surah khusus buatmu. Dan itulah Janji-janji Allah bahawa seorang wanita yang solehah itulah 'mutiara syurga' buat suaminya walaupun kekayaan duniawi tidak terhampar di kakimu.


Maafkan aku..kiranya tiada harta yang mewah, mutiara atau kilauan permata kupersembahkan dalam hidupmu. Tetapi, aku hanya mampu menjanjikan hantaran yang paling berguna untuk kita berdua sepanjang zaman. Itulah panduanNya..Kalamullah. Islam menegaskan agar ku ajar dirimu mengenal Allah, ZAT yang Agung. Itulah kunci kesempurnaan yang hakiki.


Jika asas Baitul Muslim itu kukuh, tidak mustahil ia mampu melahirkan pejuang-pejuang agamaNya yang berpedangkan TAQWA dan berperisaikan IMAN. Di hati mereka bercahaya dengan kasih sayang Ilahi kerana mereka lahir daripada bait penyatuan dua jiwa yang hidup berbumbungkan SUNNAH..berpelitakan AL-QURAN..berdindingkan WASATIAH dan QANAAH.. Itulah hakikat sebuah Baitul Muslim. 


Seringkali kau mengeluh, kau hanya insan lemah. Sedarilah bakal isteriku..kelemahanmu itu adalah kekuatan yang dikurniakan Allah buatmu. Dari kelemahan itu, terletaknya rahim yang telah melahirkan seorang Rasul, seorang Nabi, seorang abid dan juga pejuang jihad yang Allah janjikan Syurga demi setitis darah mereka. 


Ia lahir daripada jerih doamu, penat sabarmu dan lelah tabahmu. Akal setipis rambut, tebalkan dengan ilmu. Hati serapuh kaca, kuatkan dengan iman. Perasaan selembut sutera, hiasilah dengan akhlak.


Bantulah aku dalam mentakrifkan pernikahan ini. Semoga ia menjadi wasilah sebuah pembangunan insaniyyah yang akan menjadi 'khemah' dakwah dan tarbiyyah.


Bakal isteriku yang dirahmati,
Titipan ini sudah sampai ke penghujungnya. Namun, doaku untukmu tidak pernah berakhir. Seperti doaku padaNya, moga saff antara aku dan dirimu akan bersama-sama melalui siratul mustaqim yang lurus menuju jannahNya yang dirindui. InsyaAllah.


Andai ada ingatan darimu, pohonkan dariNya moga aku terus tegak dalam memperjuangkan kalimahNya walau dijengah mehnah lantaran zaman ini adalah pengakhiran sebuah destinasi...
Dunia sudah terlalu tua, ia hanya menanti masa...


Salam buat teman solehahku...


************

 

p/s:
Jelajah mayaku..mencari sesuatu buat mengisi jiwa yang terasa lelah... 
Membelek-belek fail yang dah bertahun tak ku buka lalu terjumpa sebuah 'surat cinta'...     
(dipetik dari web)
dikongsikan buat tatapan pembaca.. =) 


p/s 2:
buat yang masih menanti calon soleh..
    yang masih berada 'dibalik hijab' itu..
                   muhasabah bersama..
buat diriku & teman2 muslimah..
        renung2kanlah dengan mata hati...

Saturday, February 12, 2011

Hapuslah air mata di pipi..Hilangkan lara di hati...




Dengan Nama Allah yang Maha Sempurna..


Kegelisahan, kedukaan dan air mata adalah bahagian dari sketsa hidup di dunia. Titisan air mata yang bermuara dari hati dan berselimutkan kegelisahan jiwa terkadang memilukan sehingga membuat keresahan dan kebimbangan. Kedukaan kerana kerinduan yang teramat sangat dalam menyebabkan kepesihan yang menyesakkan rongga dada. Jiwa yang rapuh pun berkisah pada alam serta isinya, bertanya dimanakah pasangan jiwa berada. Lalu hati menciptakan serpihan kegelisahan, bagai anak kecil yang hilang dari ibunya di tengah keramaian.


Keinginan bertemu dengan pasangan hidup, bukankah itu sebuah fitrah? Semua itu hadir tanpa disedari sebelumnya, sehingga tanpa sedar telah menjadi bahagian hidup yang tak terpisahkan. Sebuah fitrah pula bahawa setiap wanita ingin menjadi seorang isteri dan ibu yang baik dibandingkan menjalani hidup bersendirian. Dengan sentuhan kasih sayang dan belaiannya, akan terbentuk jiwa-jiwa yang soleh dan solehah.


Betapa mulianya kedudukan seorang wanita, apalagi jika dia seorang wanita beriman yang mampu membina dan menjaga keindahan cahaya Islam hingga memenuhi setiap sudut rumah tangganya.


Allah swt pun telah menciptakan wanita dengan segala keistimewaannya iaitu hamil, melahirkan, menyusui hingga ketaatan dan memenuhi hak-hak suaminya laksana arena jihad fisabilillah. Kerananya, yakinkah hati itu tidak terguris ketika melihat perkahwinan wanita lain yang muda darinya?


Pernahkah kita menyaksikan kepedihan wanita yang berazam menjaga kehormatan diri hingga dia menemukan kekasih hati? Dapatkan kita menggambarkan perasaanya yang merintih saat melihat kebahagiaan wanita lain melahirkan anak? Atau tidakkan kita melihat sekilas tatapan sedih matanya ketika melihat aqiqah anak wanita lain?


Letih..


Sungguh amat letih jiwa dan raga. Sendirian mengayuh biduk kecil dengan rasa hampa, tanpa tahu adakah teman sejiwa yang menunggu di sana.


Wahai saudari solehah sekalian,


Dalam Islam, kehidupan manusia bukan hanya untuk dunia fana ini saja, kerana masih ada akhirat. Memang, setiap manusia telah diciptakan berpasangan, namun tidak hanya dibatasi di dunia fana ini saja. Seorang yang belum menemukan pasangan jiwanya, insya'Allah akan dipertemukan di akhirat sana, selama dia beriman dan bertaqwa serta sabar atas ujianNya yang telah menetapkan dirinya sebagai bujang di dunia fana. Mungkin sang pangeran pun tidak sabar untuk bersua dan telah menunggu di tepi syurga, berkereta emas untuk membawamu ke istananya.


Keresahan dan kegelisahan janganlah sampai merubah pandangan kepada Pemilik Cinta. Kalaulah rasa itu selalu menghantui, usah kau lara sendiri duhai saudaraku. Taqarrub-lah kepada Allah swt. Kembalikan segala urusan hanya kepada-Nya, bukankah hanya Dia yang Maha Memberi dan Maha Pengasih. Ikhtiar, munajat serta untaian doa tiada habis-habisnya curahkanlah kepada Pemilik Hati. Tidak usah membanding diri dengan wanita lain, kerana Allah pasti memberikan yang terbaik untuk setiap hamba-Nya, meski dia tidak menyedarinya.


Usahlah dirimu bersedih lalu menangis di penghujung malam kerana tidak kunjung usai memikirkan siapa kiranya pasangan jiwa. Menangislah dengan air mata permohonan kepada-Nya di setiap sujud dan keheningan pekat malam. Jadikan hidup ini selalu penuh dengan harapan yang baik kepada Sang Pemilik Jiwa. Bersiap menghadapi pusingan waktu, hingga setiap gerak langkah serta helaan nafas bernilai ibadah kepada Allah swt. Tausyiah-lah selalu hati dengan tarbiah Ilahi hingga diri ini tidak sepi dalam bersendirian.


Bukankah kalau sudah saatnya tiba, jodoh tidak akan lari ke mana. Kerana sejak roh telah bersatu dengan jasad, siapa pasangan hidupmu telah pun dituliskan-Nya.


Sabarlah saudaraku yang solehah.


Bukankah mentari akan selalu menghiasi pagi dengan kemewahan sinar keemasannya. Malam masih indah dengan sinar lembut rembulan yang dipagar bintang gemilang. Kicauan bening burung malam pun selalu riang bercanda di kegelapan. Senyumlah, laksana senyum mempesona butir embun pagi yang selalu setia menyapa.


Hapuslah air mata di pipi dan hilangkan lara di hati. Terimalah semua sebagai sebahagian dari perjalanan hidup ini. Dengan kebesaran hati dan jiwa, dirimu akan menemukan apa rahsia di sebalik titian kehidupan yang telah dijalani. Hingga kelak akan engkau rasakan tidak ada lagi riak kegelisahan dan keresahan saat sendiri, insya'Allah.



Serahkan semuanya pada ketentuan Allah yang Maha Mengatur, insya'Allah tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Yakinlah dengan Tuhan-Mu. Sesungguhnya..Allah Maha Mengetahui...


dipetik dari : www.murabbi.net

# Penulis: Abu Aufa
   Editor: Musafir Dunia

Friday, February 04, 2011

Wanita..Muslimah..Solehah



Sebuah kisah.........

Seorang gadis kecil bertanya ayahnya “Ayah ceritakanlah padaku perihal muslimah sejati?”

Si ayah pun menjawab “Anakku, seorang muslimah sejati bukan dilihat dari kecantikan dan keayuan wajahnya semata-mata. Wajahnya hanyalah satu peranan yang amat kecil,tetapi muslimah sejati dilihat dari kecantikan dan ketulusan hatinya yang tersembunyi. Itulah yang terbaik”.

Si ayah terus menyambung...

“Muslimah sejati juga tidak dilihat dari bentuk tubuh badannya yang mempersona, tetapi dilihat dari sejauh mana ia menutupi bentuk tubuhnya yang mempersona itu. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari sebanyak mana kebaikan yang diberikannya, tetapi dari keikhlasan ketika ia memberikan segala kebaikan itu. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa indah lantunan suaranya tetapi dilihat dari apa yang sering mulutnya bicarakan. Muslimah sejati bukan dilihat dari keahliannya berbahasa, tetapi dilihat dari bagaimana caranya ia berbicara dan berhujah kebenaran”.

Berdasarkan ayat 31, surah An Nurr, Abdullah ibn Abbas dan lain-lainya berpendapat.

Seseorang wanita islam hanya boleh mendedahkan wajah,dua tapak tangan dan cincinnya di hadapan lelaki yang bukan mahram(As syeikh Said Hawa di dalam kitabnya Al Asas fit Tasir)

“Janganlah perempuan -perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga menghairahkan orang yang ada perasaan dalam hatinya,tetapi ucapkanlah perkataan yang baik-baik”(surah Al Ahzab:32)"


Lantas apa lagi ayah?”sahut puteri kecil terus ingin tahu.

“ Ketahuilah muslimah sejati bukan dilihat dari keberaniannya dalam berpakaian grand tetapi dilihat dari sejauh mana ia berani mempertahankan kehormatannya melalui apa yang dipakainya.
Muslimah sejati bukan dilihat dari kekhuwatirannya digoda orang di tepi jalanan tetapi dilihat dari kekhuwatiran dirinyalah yang mengundang orang tergoda.Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa banyak dan besarnya ujian yang ia jalani tetapi dilihat dari sejauh mana ia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada TUHAN nya,dan ia sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang diberi”..

“dan ingatlah anakku muslimah sejati bukan dilihat dari sifat mesranya dalam bergaul tetapi dilihat dari sejauh mana ia mampu menjaga kehormatan dirinya dalam bergaul”..


Setelah itu si anak bertanya "Siapakah yang memiliki kriteria seperti itu ayah? Bolehkah saya menjadi sepertinya? Mampu dan layakkah saya ayah?”

Si ayah memberikan sebuah buku dan berkata "Pelajarilah mereka! Supaya kamu berjaya nanti. INSYA ALLAH.. kamu juga boleh menjadi muslimah sejati dan wanita yang solehah kelak,malah semua wanita boleh”...

Si anak pun segera mengambil buku tersebut lalu terlihatlah sebaris perkataan berbunyi ISTERI RASULULLAH.

“Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu ,puasa di bulan ramadhan ,menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya,maka masuklah ia ke dalam syurga dari pintu-pintu yang ia kehendakinya”(riwayat Al Bazzar)  


*halaqah.net*

Tuesday, January 25, 2011

Menjadi Tunang Orang Tanpa Kita Sedar?

Gambar sekadar hiasan


Jika seorang lelaki menyatakan hasrat kepada seorang perempuan untuk dijadikan isteri dan wanita itu bersetuju, adakah ia dikira bertunang walaupun ibu bapa perempuan itu belum tahu atau tidak kenal pihak lelaki?
Jawapan
Makna pinang dari segi syarak adalah pihak lelaki menyatakan hasrat berkahwin kepada pihak perempuan. Apabila pihak perempuan berkata setuju, maka perempuan itu sudah dikira menjadi tunang kepada lelaki tersebut.
Contohnya apabila seorang lelaki berkata kepada seorang perempuan, "Aku ingin jadikan kamu sebagai isteriku."
"Kahwin la dengan kita bila-bila," jawab perempuan tersebut.
Maka dari segi hukum syarak, tatkala pihak perempuan itu bersetuju, dia telah menjadi tunang kepada lelaki tersebut; walaupun ia disebut dalam telefon.
Jadi, haram bagi lelaki lain untuk masuk meminang jika hal itu diketahui. Namun jika pihak lelaki lain yang ingin masuk meminang itu tidak tahu, maka ia tidak haram.
Bagaimana dengan kebiasaan orang Melayu yang menghantar rombongan meminang untuk lelaki meminang perempuan?
Ia hanyalah adat Melayu, dan tiada kena mengena dengan hukum Islam. Antara hukum Islam dan hukum adat, mana satu lebih penting?
Namun tiada masalah dengan adat Melayu itu, cuma dari segi hukum Islam, bertunang itu adalah apabila seorang perempuan itu bersetuju dengan hasrat pihak lelaki untuk menjadikannya seorang isteri.
Bagaimana Jika Perempuan Itu Ketiadaan Ibu Dan Ayah?
Mengikut hukum syarak, jika perempuan itu persetujuannya sudah diizinkan oleh syarak seperti perempuan yang cerdik, yang sudah baligh dan sebagainya, ia sudah dianggap bertunang jika dia bersetuju dengan pelawaan lelaki yang menyatakan hasrat mengahwininya.
Apabila perempuan itu persetujuannya tidak menepati hukum syarak seperti belum baligh, gila dan lain-lain, maka wali diperlukan untuk menjawab 'pinangan' tersebut.
Kesimpulannya, kita perlu berhati-hati kerana kita boleh menjadi tunang orang tanpa kita sedar. Pastinya ramai yang tidak tahu dan perasan akan hakikat ini.

Sekiranya kita memang betul-betul sudah menjadi tunangan orang, bacalah artikel 'Disiplin Islam Dalam Pertunangan' dan 'Bagaimana Bercouple Cara Islam?'


""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""

- Artikel diolah dari ceramah Ustaz Azhar Idrus.

dipetik dari blog: http://diheartyku.blogspot.com/


p/s: sekadar perkongsian..
           agar tidak timbul kekeliruan..
                 tatkala berdepan dengan situasi sedemikian..
                      maka.. berwaspadalah duhai HATI & LISAN!!